Catatan terkini

Navigation : Home / , / Article : [Design] Raih Pingat Emas. Layakkah Kita?

[Design] Raih Pingat Emas. Layakkah Kita?

Isnin, 29 Ogos 2011 | No Comments | Labels : ,


alt

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, dan Ramadhan ini akan pergi.

Di Malaysia, sambutan untuk kedatangan Syawal sangat meriah. Di sana sini, di pasaraya, di pusat membeli belah, kita tidak akan rasa aneh jika mendengar dendangan lagu-lagu Syawal sudah dimainkan.

Bahkan, seawal 1 Ramadhan lagipun, ada pasaraya yang telah 'semangat' memasang lagu-lagu Syawal.

Berjalan sedikit sahaja, kita akan nampak promosi-promosi jualan Aidilfitri bergantungan di merata-rata tempat.

Informasi iluvislam.com

Jadilah 'blogstarz' dan kunjungi http://web.iluvislam.com untuk meralisasikannya dan dapatkan segera pakej hosting bermula serendah RM69 setahun dan promosi diskaun 50% merdeka DOMAIN .MY sekarang juga! Gunakan kod kupon MY50MERDEKA.

Itu belum kira lagi, berderet-deret kedai pakaian dan baju raya bersaing menjual barangan masing-masing sebagai persediaan menyambut Syawal.

Betapa seriusnya masyarakat kita membuat persediaan untuk menyambut Syawal. Ramadhan? Tidak pula seserius itu. Itulah masalah bila kita melihat keutamaan pada yang bukan utama.

AIDILFITRI, LAYAKKAH KITA?

Aidilfitri itu adalah hadiah daripada Allah untuk orang-orang yang berjaya menempuh sebulan Ramadhan ini. 'Aid' itu bermaksud perayaan. Dan 'fitri' itu adalah bermaksud kembali kepada fitrah. Dalam kata lain, Aidilfitri adalah perayaan bagi orang-orang yang berjaya kembali kepada fitrah.

Apa maksud kembali kepada fitrah?

Kita kembali seperti awal-awal kejadian kita. Seperti seorang bayi yang baru lahir. Tiada dosa. Bersih jiwa. Bergerak seperti semula, untuk menjadi hamba. Dan, Ramadhan adalah madrasah latihan untuk itu. Untuk melahirkan insan yang berjaya kembali kepada fitrah asal ciptaannya, fitrah seorang hamba yang sepatutnya tunduk kepada Penciptanya, bersih daripada dosa.

Dan, Aidilfitri sebenarnya adalah gerbang mahligai khusus untuk menyambut mereka yang berjaya mencapai tujuan itu. Hendak kembali semula seperti asal, bersih daripada dosa, maka kita kembali kepada saranan Nabi s.a.w. dalam hadis yang mafhum bermaksud:

"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan berkira-kira, diampunkan dosa-dosanya yang lalu."

(Hadis Riwayat Bukhari)

Penuh keimanan, dan berkira-kira. Berapa ramai di kalangan kita, puasanya hanya sekadar tinggal menahan lapar dan dahaga? Sifat-sifat mazmumah lain, mengeji, mengumpat, mengucap kata nista masih setia menjadi zikir di bibir berbanding zikrullah.

Mata, tidak berusaha dipelihara daripada memandang kepada dosa. Kaki, tetap tegar malas melangkah ke masjid untuk bersama menunaikan solat jemaah. Kalau ke masjid sekalipun, hanya pada awal-awal Ramadhan. Selepas itu, sudah tidak nampak batang hidung.

Maka, yang diperolehinya tidak lebih daripada hanya sekadar lapar dan dahaga. Tetapi, biasanya, jenis-jenis inilah yang 'paling cepat' sekali bila sebutkan Aidilfitri. Sibuk buat itulah, sibuk buat inilah.

Maklumlah, Aidilfitri setahun sekali, kenalah buat yang terbaik! Ramadhan itu pun setahun sekali juga. Kenapa tidak meriah pula sambutannya seperti Aidilfitri? Sedangkan Ramadhan itu yang lebih utama. Lalu, saya ingin bertanya. Layakkah kamu untuk Aidilfitri dengan keadaan begitu?

KITA BERSALAH KERANA MENGABAIKANNYA

Ramadhan semakin sampai ke penghujung. Kalaulah manusia ditakdirkan tahu bila penghujung usianya, maka apa yang akan dilakukannya?

Sudah pastilah dia akan bertungkus-lumus melakukan kebaikan. Kerana dia tahu dia akan mati pada tarikh sekian sekian.

Lalu, Ramadhan pun begitu. Kita sudah tahu ia akan pergi meninggalkan kita. Kenapa tidak kita bertungkus-lumus juga merebut ganjaran yang paling bernilai di pusingan akhir ini?

Pusingan akhir yang di dalamnya ada Lailatul Qadr. Kenapa kita tidak berusaha untuk merebutnya?

Sedangkan tahun hadapan, kita belum tentu lagi bertemu Ramadhan. Sedangkan tahun hadapan, kita belum dijamin masih hidup lagi. Maka, sekarang masanya. Sekarang masanya untuk kita perbaiki saki-baki hari yang masih tinggal dalam Ramadhan ini.

Bukanlah saki-baki ini kita tinggalkan terus, kerana sibuk dengan Aidilfitri. Sedangkan Nabi s.a.w. sendiri memberi keutamaan pada saki-baki Ramadhan ini. Maka, sepatutnya kita yang lebih banyak dosa dan tidak maksum (terpelihara daripada dosa) seperti Nabi SAW merebut saki-baki akhir Ramadhan ini.

Supaya nanti kita termasuk orang-orang yang benar-benar layak untuk merayakan Aidilfitri. Supaya nanti kita termasuk orang-orang yang bersih jiwanya daripada dosa. Lalu, kenapa kita tidak benar-benar menghargainya?

MEREKA YANG LAYAK, HANYA MEREKA YANG MENEMPUH RAMADHAN DENGAN IMAN DAN BERKIRA-KIRA

Saya menghitung diri saya sendiri. Seolah-olah diri ini sebenarnya masih tidak layak untuk menyambut Aidilfitri. Aidilfitri itu adalah hari kemenangan. Menang dalam pertarungan antara IMAN dengan NAFSU. Tetapi, berapa ramaikah yang sebenar-benarnya menang dalam pertarungan ini?

Kalau dilihat waktu berbuka puasa, pun sudah cukup untuk memberi gambaran siapa yang menang sebenarnya. Itu belum kira lagi waktu solat Tarawih. Solat Tarawih itu memanglah dari segi bahasanya bermaksud rehat.

Tetapi, ada orang yang benar-benar 'rehat' ketika solat Tarawih kerana terlalu kekenyangan berbuka puasa. Dapat pahala, tetapi tidak memberi kesan pada pembersihan jiwa. Kerana solat dengan hati yang lalai.

Sebab itulah, Aidilfitri sebenarnya hanya layak untuk orang yang benar-benar menempuh Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan berkira-kira. Penuh keimanan dalam erti kata dia menjaga kualiti amalannya sepanjang Ramadhan ini.

Kalau bersedekah, biarlah beri yang terbaik. Kalau melaksanakan solat sunat, biarlah dalam keadaan terbaik dan memahami bacaan yang dibaca dalam solat. Kalau membaca al-Quran, biarlah dengan penghayatan, bukan hanya sekadar ingin menghabiskan. Kalau memberi senyuman sekalipun, biarlah senyuman itu senyuman yang terbaik dalam dunia!

Berkira-kira dalam erti kata kita menghitung-hitung apakah telah cukup amalan kita pada hari ini untuk kita merebut janji-janji Allah dalam Ramadhan ini?

Menyesali masa lalu yang telah kita bazirkan dan meningkatkan amalan dalam saki-baki hari yang ada supaya mampu menjadi asbab untuk kita meraih keampunan dan rahmat Allah serta pembebasan dari api Neraka. Itu yang dimaksudkan dengan berkira-kira.

Mereka yang begini, merekalah yang layak menjadi graduan Ramadhan sebenarnya. Aidilfitri itu hanya layak untuk mereka yang begini. Mereka yang menempuh Ramadhan penuh Iman dan berkira-kira. Muhasabah seketika. Kita di golongan mana?

PENUTUP : MASIH ADA MASA, PERBAIKILAH

Akhirnya, setelah kita memuhasabah, kita bandingkan rahmat Allah di dalam Ramadhan, dengan usaha kita yang terlalu sedikit untuk mengejarnya, kita akan nampak bahawa kita sebenarnya tidak layak untuk Aidilfitri.

Kita bandingkan Ramadhan kita dengan Ramadhan para sahabat Nabi s.a.w, kita akan terasa betapa jauh sekali bezanya. Sahabat Nabi menangis ketika Ramadhan hendak meninggalkan mereka. Kita?

Kita menangis juga, tetapi sedih kerana anak tidak pulang berhari raya, sedih kerana tahun ini ibu bapa sudah tidak sempat beraya bersama kita kerana telah meninggal dunia. Berbeza. Sungguh berbeza. Kita tidak menangisi Ramadhan yang pergi meninggalkan kita. Sedangkan ia musim bunga buat kita.

Bila direnung kembali, seolah-olahnya, Aidilfitri ini memang bukan untuk kita. Kerana kita kadang-kadang melayan Ramadhan sambil lewa. Kerana kita selalu lupa, ia sebenarnya medan latihan dan peningkatan buat diri kita.

Kerana kita melihat, Ramadhan hanya sekadar puasa, maka ia tidak bernilai apa-apa kepada kita. Namun, kita masih ada masa. Tinggal saki-baki beberapa hari yang ada ini, marilah kita rebut dan rembat semua peluang yang ada supaya kita tidak tertinggal di belakang.

Biarlah orang lain sibuk dengan persediaan untuk hari perayaan, tetapi kita sibuk mencari kedudukan di sisi Tuhan. Itu yang lebih besar. Itu yang menjamin kebahagiaan di hari perayaan.

Mari, kita perbaiki saki-baki hari yang ada ini. Supaya nanti, kita keluar daripada Ramadhan, kita termasuk orang-orang yang berjaya! Ayuh, habiskan sisa Ramadhan ini dengan bermakna !

Dari Abu Hurairah ra (bahwasanya) Rasulullah S.A.W pernah naik mimbar kemudian berkata,

"Amin, Amin, Amin."

Ditanyakan kepadanya, "Ya Rasulullah, engkau naik mimbar kemudian mengucapkan Amin, Amin, Amin?"

Beliau bersabda, "Ertinya : Sesungguhnya Jibril 'Alaihis salam datang kepadaku, dia berkata, "Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan tapi tidak diampuni dosanya maka akan masuk neraka dan akan Allah jauhkan dia, katakan "Amin", maka akupun mengucapkan Amin.."

(Hadis Riwayat Ibn Khuzaimah)

Sumber Text: Tinninun-Alislam

Download Facebook Profile Picture ini dan Upload Di Facebook Anda (Klik di sini untuk download) (1) 'Save As' dan upload (2) di gambar profil Facebook anda.


0 Responses to " [Design] Raih Pingat Emas. Layakkah Kita? "

Leave a Reply