Catatan terkini

Navigation : Home / / Article : Tokoh Ulama Negeri Kelantan (7)

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (7)

Selasa, 16 September 2008 | No Comments | Labels :

Haji Abdullah Tahir Bunut Payong
(1897- 1961)


Salah seorang ulama besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu Fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payung yang terkenal di seluruh Semenanjung. Seangkatan dengan Haji Ali Pulau Pisang, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Ahmad Batu Tiga Repek, Haji Saleh Pedada dan lain-lain.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Haji Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kg. Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920).

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Mekah mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Mohd Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang diberi nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal di seluruh pelosok Semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

Di Pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang keras lagi tegas.

Kerana kegigihannya yang sedemikian maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Haji Husain Rahimi, Haji Nik Man Sungai Budor, Haji Abdul Aziz Pasir Tumboh, Haji Ismail Padang Lepai, Haji Abdullah Kok Lanas, Haji Omar Kubang Bemban, Haji Abdul Rahman Slow Machang, Haji Wook Lubok Chekok, Haji Noor Teliar, Haji Sulaiman Siram, Haji Daud Bukit Bunga, Haji Yaakub Kelong, Haji Ghazali Pulai Chondong, Haji Zakaria Selising, Haji Osman Perlis, Haji Ahmad Kodiang, Haji Yahya Joned Gurun, Haji Ibrahim Bongek, Haji Abdul Wahid Sungai Udang, Haji Husain Umbai, Haji Ahmad Relai, Haji Hasanuddin Berhala Gantang, Haji Ismail Phuket, Haji Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik mengangotai Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).

Kematian ahli fuqaha' ini pada pukul 7.20 pagi Selasa, 4 Rabiul Awwal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiyyahnya.


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan
dan disusun oleh Ismail Che Daud

0 Responses to " Tokoh Ulama Negeri Kelantan (7) "

Leave a Reply