Catatan terkini

Navigation : Home / / Article : Tokoh Ulama Negeri Kelantan (9)

Tokoh Ulama Negeri Kelantan (9)

Selasa, 16 September 2008 | No Comments | Labels :

Haji Yaakub Lorong Gajah Mati
(1895- 1956)


Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku kedua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Mat Jebeng, Haji Ahmad Batu Tiga Repek dan lain-lain.


Nama lengkap tokoh ulama yang berkediaman di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu ini ialah Haji Yaakub bin Haji Ahmad.


Kerjaya awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922, dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis) dengan gaji permulaan $20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat ke $28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami' Merbau al-Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah $34 dan beliau kekal berkhidmat di situ sehinga 1945.


Antara murid-murid harapannya tersenarailah nama-nama seperti Tuan Guru Dato' Haji Nik
Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato' Haji Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Haji Syed Hasan Lemal, Tuan Guru Haji Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd Saghir Kg. Baru, Pasir Pekan, Tuan Guru Haji Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Haji Ahmad Osman, Hutan Palas, Bukit Keplu, Kodiang (Kedah).


Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama MAIK (seawal 1932) beberapa penggal.
Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadith di Kelantan.


Tuan Guru Haji Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu, 6 Jamadilawal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan antara lain, tiga orang putera yang dikenali ramai:


- Dato' Haji Husain (ahli perniagaan) - pewakaf Masjid al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu.
- Haji Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan pewakaf Sekolah Islam Aman, Kota Bharu).
- Ustaz Yusoff Zaky @ Dato' Sri Setia Raja (pengarang terkemuka, pengasas Pustaka Dian Kota Bharu dan penterjemah Tafsir Fi Zilal al-Quran).


Petikan ini diambil dari Arkib Negeri Kelantan
dan disusun oleh Ismail Che Daud.

0 Responses to " Tokoh Ulama Negeri Kelantan (9) "

Leave a Reply