HAK AKADEMIK : SEMBANG MAHASISWA
Assalamu'alaikum..
menulisnya saya kerana ingin memberi pandangan dan cadangan peribadi,
Biasa kita tahu Badan Kebajikan Negeri (BKAN) suatu organisasi yg ditubuhkan yang banyak memenuhi hak dan kebajikan ahli terutama kewangan, begitu juga Persatuan Zon (PZ) saling melengkapi kebajikan yang dikosongkan oleh BKAN iaitu kebajikan akademik, syakhsiah, ukhwah dan lain-lain.
Sebagai Mahasiswa maka fokusnya lebih kepada akademik, maka disitu yang ingin dibicarakan oleh saya disini. Sepertimana kita tahu Persatuan Zon lah yang mempunyai program paling banyak, ada yang baik, ada yang kurang sesuai dan lain-lain. Mengenai program yang melibatkan pengajian pula, kita tidak henti dihujani program motivasi, nasihat, perbincangan luar, isu masa, forum, dan lain-lain. Manakala berkaitan kelas pengajian dan perbincangan subjek di kelas/kuliah kurang diangkat serius oleh Persatuan Zon disini.
Sebagai mahasiswa kerdil dan perlahan dari yang lain disini ingin saya bicarakan tentang kebajikan kefahaman, terasa terlalu sedikit kelas-kelas pengajian yang membincangkan tentang pembelajaran di kelas. Bagi saya terkadang terasa terlalu rugi, kerana masih ada golongan yang terbelakang dan yang ingin tahu apa yang dipelajari, agar tidak terasa kosong pembelajarannya, kefahamannya dan agar tidak terasa hanya menghafal kosong, kerana yang dipelajari itulah bakal dijwab kelak pulang ke tanah air. Mungkin jua kejatuhan dan keruntuhan mahasiswa seperti saya, belajar tetapi makin lama belajar makin lain jadinya, mungkin ianya berpunca kerana saya tidak tahu apa yang saya pelajari.
Selaku mahasiswa yang agak perlahan, setelah kunjungan ke sebuah pejabat mahasiswa jauh di Kota Karak sana, kebajikan akademik adalah penekanan pertama. Digantungnya jadual-jadul kelas pembelajaran subjek kelas/kuliah di luar kelas. Tenaga pengajarnya pula ramai tidak bergantung dan mengharapkan seorang sahaja untuk keseluruhan subjek tetapi bergantung atas kefahaman dan pemberian kepada para pendengar. Dengan kata lain siapa-siapa pun boleh menjadi pengajar atas kefahaman dan atas dasar ingin memberi dan membantu. Jadi terasa agak teruja dan memikirkan alangkah bertuah jika berada di tempat itu.
Ada pula memberi jawapan, “Bagus cadangan itu, tetapi buat masa sekarang. Kita jangan terlalu banyak mengharapkan orang menyuap ilmu ke mulut kita. Tapi lebihkan mencari sendiri ilmu yang kita ketinggalan. Insya’allah banyak pelajar-pelajar kita yang akan terkehadapan. Boleh bertanya pada mereka apa yang kita tidak faham dalam pelajaran. Insya’allah bermanfaat”. Dan satu lagi jawapan dari yang lain, “Saudara Nik Mohd Syamim, pandangan saudara itu betul. Akan tetapi sekarang Exco Akademik Dan Intelektual giat menjalankn kelas-kelas tutorial, bagi mewarnai bumi Jordan ini dengan ilmu-ilmu kepada mahasiswa. Tetapi, kita perlu ingat apabila kita hadapi sesuatu kesusahan, di situ Allah uji kita semua. Sebagai contoh, zaman saya menduduki SPM, kami tiada guru sejarah, fizik, kimia, biolog. Dengan kesusahan yang Allah uji, kami jadi lebih berdikari, majoriti dapat A walaupun tanpa guru yang mengajar, kami cari ilmu yang tidak disuap kepada kami. Kalau ingin di jadikan contoh sekarang ini, kelas Fiqh dari seorang Ustaz Master disini yang saya sendiri tidak dapat hadir kerana musyaqqoh tetapi saya sentiasa hubungi Ustaz Master tersebut apabila saya tidak faham tentang fiqh, walaupun saya sendiri mengajar kelas tutorial untuk subjek fiqh. “فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون ”. Insya’Allah dengan berpandukan ayat yang telah Allah ajarkan kepada kita ini, kita dapat berjaya. Terima kasih saudara Syamim dengan cadangan yang bagus tersebut, saya jamin pihak akademik kian giat bekerja keras untuk membantu kita semua.”
Menurut saya, saya setuju sahaja dengan kata mereka. Namun sekadar cadangan peribadi memperkasakan akademik dan membantu kepada yang kurang bernasib baik. Tidaklah bererti saya menulis ini menyatakan pihak Exco Akademik tidak membuat kerja. Menurut saya, Exco Akademik Dan Intelektual antara biro yang terbaik sepanjang perjalanan setiap sesi khususnya dalam membantu ahli persatuan zon terutama diri saya sendiri dalam menjalani permasalahan berkaitan pembelajaran dan pengurusan pendidikan. Cuma ingin memberi cadangan dan pandangan. Biarlah pihak persatuan zon yang memutuskan dengan pertimbangan, dan perbincangan. Cuma saya kurang setuju berkaitan “Mengharap orang menyuap ilmu ke mulut." Maaf ya, menurut pandangan saya, jika semua berfikir begitu, terus beruntunglah mereka yang bijak pandai dan teramat rugi orang yang kurang bernasib baik.
Memperoleh kejayaan adalah cita-cita semua, mustahil tiada usaha dari mereka yang memiliki cita-cita untuk menggapai kejayaan. Suka saya bahagikan disini dalam kategori kurang baik yang mungkin kita terlepas sendiri terlepas pandang :
Kategori (1) - MALU KERANA RASA BODOH :
Seseorang yang inginkan pengajaran kerana betul-betul tidak tahu, tetapi dia malu kerana terasa diri mereka "orang bodoh", jadi mereka malu hendak dekati orang hebat apatah lagi hendak bertanya.
Kategori (2) - TAK PANDAI BAHASA ARAB :
Seseorang itu yang memang tidak tahu dan tidak faham langsung pengajian di dalam kelas, mungkin kerana tidak faham bahasa arab kerana ‘vocab’ yang sedikit. Jangan difikirkan semua dikalangan kita pandai dan faham bahasa arab, kerana masih ramai lagi orang yang tersisih dalam bahasa arab, dan secara kesuluruhannya kita tahu sebenarnya dia tidak faham langsung apa yang dipelajari. Jadi hafal kosong sahajalah kerjanya tanpa memahami.
Kategori (3) - PUTUS ASA :
Seseorang yang juga kurang bernasib baik, dia terus usaha dan mencari, bertanya orang pun sudah, akhirnya dia terasa keseorangan, terasa tiada siapa peduli, jadi usaha selama ini dia buat akhirnya bertukar menjadi putus asa dan terus tersungkur jatuh.
Kategori (4) - MALAS :
Juga seorang orang yang kurang bernasib baik, usaha sudah buat sebelum itu, bahasa arab pula kurang, sehingga hendak diterjermah pula satu-satu perkataan, bayangkanlah satu muka surat sudah berapa patah perkataan apatah lagi senaskah buku. Oleh itu timbullah rasa malas setelah gagal berusaha. Akhirnya belajar hanya di waktu-waktu akhir di malam peperiksaan, dan mungkin jua menghafal kosong agara sekurang-kurangnya dia lulus sahaja. Yang lebih sedih, terus tiada usaha dengan gagal, hingga di buang universiti atau ingin pulang ke Malaysia atau ingin pindah universiti lain.
Setelah membahagikan kategori, masih lagi ada yang membalas “Kalau mengikutkan keempat-empat ketegori yang disenaraikan ini, semuanya kembali kepada diri sendiri. Sepatutnya diri sendiri perlu terlebih dahul berusaha membuang sifat-sifat ini. Tidak bolehlah hendak mengharapkan orang lain. Bak satu kata-kata Allah yang bermaksud, "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum selagi mereka sendiri tidak mengubahnya." Disini saya ingin membidas kembali kategori yang diberikan bermula kategori (1) - Kenapa perlu malu? Kalau malu bertanya, sesat jalan. Semua orang ada rasa malu, akan tetapi untuk berjaya seharusnya buanglah sifat itu. Takkan dengan kawan sendri pun malu bertanya? Kategori (2) - semua orang tidak pandai berbahasa arab pada mula-mula masuk ke kuliah. Saya pun sehingga hari ini tidak sampai tahap memahami kesuluruhan apa yang doktor cakap dalam kelas. Perkara biasa, jangan jadikan ia alasan kerana kita ada kawan di tepi kita yang mungkin faham, kita boleh sahaja bertanya. Kategori (3) - Kalau orang yang betul-betul meletakkan niat untuk berjaya, sepatutnya perkataan putus asa tidak pernah muncul dalam kamus hidup dia. Kategori (4) - Malas? Semua orang ada sifat malas, memang tidak boleh nak elak, akan tetapi malas tiada ubatnya. Sebab penyakit ini hanya boleh diubati oleh diri sendiri bukan orang lain. Maaf Nik Mohd Syamim, saya tegur diri sendiri juga ni, kerana apa-apa pun yang terjadi pada kita tidak kira berjaya atau tidak semua terletak pada diri kita sendiri. Kita usaha lebih, kita dapat lebih. Usaha kurang, dapatlah kurang. Wallahua'lam” Satu lagi jawapan yang diterima, “Saudara Nik Mohd Syamim, Exco Akademik Dan Intelektual pun student juga, hendak khususkan masa khas untuk saudara seorang mungkin agak payah. Lebih bagus saudara usaha sendiri. “Ilmu itu didatangi bukan datang sendiri" jangan manja sangat saudara Syamim.
Untuk mendapatakn penjelasan, Pertama sekali maksud saya mengetengahkan Exco Akademik Dan Intelektual bukanlah saya menyalahkan mereka atau menyatakan mereka tidak melunaskan kerja-kerja mereka. Disini juga bukan Saya menyatakan ketidak puas hatian kepada mereka, bukan meminta mereka mengkhususkan masa untuk saya seorang semata, akan tetapi saya bersama Exco Akademik untuk mengangkat Akademik ketahap yang lebih tinggi daripada penekanan program yang menghabiskan duit tanpa hasil, cuma atas dasar berseronok, disamping membantu yang jatuh, apatah lagi dengan permasalahan yang tersungkur dengan “Markaz Lughah”. Dan maksud saya disini bukanlah kelas khusus kepada yang tidak pandai, tetapi sebuah kelas terbuka sepertimana kelas turorial yang lain. Jika dibangunkan kelas dengan nama kelas tidak pandai apakah mentaliti orang lain terhadap mereka yang menghadiri kelas itu dan bagimana pula mereka jika dilabelkan sedemikian.
Penulisan ini cuma sekadar cadangan dan pandangan peribadi yang memihak kepada semua dan yang bersembunyi, dan untuk membantu memperkasakan akademik dalam Persatuan Zon. Jika anda berasa ia tidak sesuai, semua perlu usaha sendiri silakan. Cuma mewakili kehendak mereka yang punyai kebersamaan dengan pandangan ana. Apa salahnya membantu, pedulikan kelemahan mereka yang malas dan malu akan tetapi fikirkan kehendak mereka dan impian mereka yang terasa kesamaran. Apa salahnya ambil masa fahami mereka, pedulikan mereka, melangkah bersama, susunlah kepada mereka satu persatu-satu anak tangga untuk gapai bintang.
Suka saya jelaskan lagi bagi tiap-tiap yang saya sendiri kategorikan. Bagi kategori (1) dengan kelas ini, dalam diam dia dapat ikuti, dalam hati kecilnya berbisik bahawa dia tidak terasa malu kerana dia dapat merasa orang tidak tahu dia kurang pandai. Kategori (2) dengan berbekalkan kata-kata "usaha sendiri", dengan pemahaman bahasa arabnya yang lemah, akhirnya apa yang difahami berbeza maksud yang hendak dibicarakan sebenar, apatah lagi pengajiannya pula tentang agama. Kategori (3) pula, dengan adanya kelas ini terasa allah telah bukakan jalan untukknya dan bagi Kategori (4) memberikan jawapan kepada dia tiada lagi istilah malas untuknya. Bukan bereti saya tidak setuju dengan jawapn yang diberikan oleh mereka yang menjawab kategori yang telah saya susunkan. Cuma apa salahnya kita mematikan rasa ego dan sombong kita untuk membangun bersama.
Jadi disini tiada salahnya, suaplah ilmu sampai ke perut sekalipub tidak di mulut sahaja. Apa salahnya dalam membantu, tidak semua betuah, tidak semua senasib, yang malang tak bereti mereka tidak berusaha atau malas, tidak jua kerana tidak mencari, tidak juga kerana tidak mengkaji. Biarlah apa sekali latar belakang, baik hitam baik putih, dia berhak mendapat kebajikan kerana tidak diminta diuji dan menjadi sedemikan. Sebagai rakan, orang atasan kita perlu fikir baik buruk orang yang kurang bernasib baik, kerana untuknya belum lagi menerima rezeki sedemikian seperti kita. Kita tidak rugi tetapi bertambah ganjaran kepada kita, manakala orang kurang bernasib baik juga tidak rugi. Disini saya bercakap dari sudut cadangan dan pandangan peribadi berkaitan dengan kebajikan bukan sebuah pertempuran perang.
Di akhiri perbincangan ini dengan kata-kata oleh seorang Ustaz Master, “Rome wasn't built in a day.. Kisah pejabat mahasiswa di kota karak.” Saya amat bersetuju dengan kata-katanya, dengan kefahaman yang saya terjemah sendiri, mungkin maksud beliau hendak niat dan tujuan saya menulis untuk Persatuan Zon memperkasakan akademik bukanlah mudah dan boleh dibentuk dalam masa sehari tetapi memakan masa yang lama. Begitulah juga dengan apa yang saya sendiri terjemahkan dari buah fikiran saya, kalau tidak saya bersuara mungkin bila lagi, dan dalam usaha saya untuk menjelaskan apa yang hendak disampaikan sahaja cukup mengambil masa yang lama sehingga turut dibahas orang luar untuk mendapat capai ketahap kefahaman apa yang disampaikan sehingga menterjemahkan saya menyerang pihak Exco Akademik, saya seorang yang manja dan malas berusaha sendiri, serta ingin mendapat perhantian khusus khas untuk saya seorang sedangkan yang di saya suarakan adalah kelompok yang tercicir dan kurang diambil perhatian kerana terlupa disebalik kejayaan masing-masing.
Mungkin masih banyak lagi kategori lain yang kurang nasib baik, cuma ini sahaja yang terlintas dari fikiran ketika mengarang.. Disini saya susun sepuluh jari mohon maaf. Saya menulis atas dasar pemahaman, pengalaman, logik, rasa, pedli dan kehidupan. Walau saya bukanlah Muizuddin yang mampu menulis kata-kata bernas memikat rakyat Malaysia dengan Surat Terbuka PM, bukan jua Ihsan Fadhli yang mampu merungkai kata-kata hikmah, bukan jua Hussin Fauzi yang mampu melontar kata-kata haraki dan penyatuan mahasiswa. Bukan jua seperti Syarifah Nurfathiah mampu menaqalkan kata-kata ulama’, malahan ulama’ pun kurang saya kenali, apatah lagi untuk memberi nas dan dalil quran dan hadis. Apatah lagi memakan hati untuk orang lain memetik butang “like”. Inilah saya hanya mampu menulis atas dasar kehidupan dan rasa.
NIK MOHD SYAMIM IYLIA BIN MAT YUSOFF
www.ibnuyusuf.net